Kabinet baru diumum 11 pagi esok, angkat sumpah Isnin

Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap Perdana Menteri di Kuantan, Pahang. Foto Pejabat Perdana Menteri
Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap Perdana Menteri di Kuantan, Pahang. Foto Pejabat Perdana Menteri

26 OGOS 2021: Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan anggota Kabinet beliau esok.

Pengumuman akan dibuat pada pukul 11 pagi.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan bahawa majlis angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan itu akan berlangsung pada Isnin depan, jam 2.30 petang.

Pagi tadi, Ismail Sabri mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama 1 jam 30 minit di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.

Istana Negara memaklumkan, pada majlis sembah mengadap itu, Ismail Sabri telah menyembah maklum senarai Anggota Kabinet beliau kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah.

Dalam catatan Facebook, Ismail Sabri berkata, “saya diperkenan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan.”

“Dalam pertemuan selama satu jam 30 minit yang bermula pukul 11 pagi itu, saya telah mempersembahkan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu ke sisi Baginda.

“Saya menjunjung titah dan menjunjung kasih atas nasihat serta pandangan bijaksana Baginda, terutama dalam hal ehwal kebajikan Keluarga Malaysia,” kata beliau.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, beliau turut menyembah janji akan memastikan perkara tersebut diberi keutamaan oleh pentadbiran Kerajaan pimpinannya.

Leave a Reply