Publication

Publication

BUKU (books)

[1] Penjalanan Pilihan Raya Di Malaysia

Penulis: Ab Rashid Ab Rahman

Tahun: 1994

Sinopsis: Buku ini menyediakan maklumat mengenai proses dan undang-undang pilihan raya di Malaysia dengan mendalam. Satu-satunya buku dan julung kali diterbitkan dalam bentuk seumpama itu untuk kegunaan parti dan calon yang bertanding. Ia dihasilkan oleh seorang yang luas pengalaman dalam bidang pilihan raya. Penulis merupakan bekas Setiausaha dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Laporan (reports)

[1] Laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya

  1. Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya, yang turut dikenali sebagai Electoral Reform Committee (ERC), telah ditubuhkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada Ogos 2018.
  2. Jawatankuasa Khas ini ditubuhkan bagi mengkaji setiap aspek berkaitan dengan sistem, proses serta undang-undang pilihan raya yang sedia ada agar dapat diangkat setaraf dengan amalan demokrasi maju di peringkat antarabangsa. Keanggotaan ERC pula terdiri daripada individu-individu yang mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman luas dalam bidang politik, demokrasi serta pengurusan pilihan raya.
  3. ERC telah diberikan tempoh selama dua (2) tahun bagi menyelesaikan kajian dan mengemukakan sebuah laporan yang mengandungi cadangan-cadangan reformasi pilihan raya kepada Kerajaan untuk membawa penambahbaikan sistem dan proses pilihan raya serta pindaan kepada undang-undang pilihan raya.
  4. Sehubungan dengan itu, ERC telah menjalankan satu kajian intensif dengan berfokuskan kepada 15 komponen yang spesifik.
  5. Bagi mendapatkan input dan pandangan umum, sebanyak 35 sesi libat urus telah diadakan di seluruh negara dan bersama kumpulan sasar sepanjang 24 bulan yang lalu. Jawatankuasa ini juga ada menerima pandangan dan input dalam bentuk memorandum secara bertulis daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk parti-parti politik.
  6. Dengan terlaksananya perakuan-perakuan berhubung dengan penambahbaikan kepada sistem dan kerangka perundangan pilihan raya itu, adalah diharapkan ia dapat memastikan pilihan raya yang dilaksanakan di masa-masa akan datang adalah pilihan raya yang boleh diiktirafkan sebagai bebas, berwibawa serta mendapat kepercayaan semua pihak berkepentingan.
  7. Laporan ini mengandungi 49 syor (senarai dilampirkan) sama ada dalam bentuk pindaan kepada undang-undang sedia ada atau penggubalan undang-undang baharu yang dilihat sebagai mustahak dalam sistem pilihan raya.
  8. Harapan ERC agar kesemua cadangan ini dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan bagi memastikan amalan demokrasi melalui pilihan raya dapat dipertingkatkan supaya Malaysia akan diiktiraf semula sebagai mempunyai sistem pengurusan pilihan raya yang kredibel mengikut standard amalan antarabangsa.
  9. Laporan ini telah diserahkan kepada Y.A.B. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat beliau di Menara Parlimen pada hari ini, 27 Ogos 2020. Bagi pihak ERC, saya mengucapkan terima kasih dan penghargaaan atas komitmen pihak Kerajaan dan Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan usaha dan inisiatif penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya negara kita.
  10. Sukacita saya tegaskan bahawa usaha untuk menghasilkan laporan ini melibatkan suatu proses yang agak panjang dan mencabar yang perlu dilalui oleh semua Ahli ERC. Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa ERC, Ketua-Ketua Kluster, Anggota Jawatankuasa Kecil serta semua pegawai dan kakitangan Sekretariat ERC yang sentiasa bekerja keras untuk merealisasikan agenda penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya.
  11. Dalam melaksanakan tanggungjawabnya, ERC turut menerima bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara. Sehubungan dengan itu, ERC ingin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan bantuan dan kerjasama dalam memastikan mandat ERC dapat diselesaikan dengan baik dan sempurna.

Senarai 49 Syor Pembaikan Laporan ERC

Syor 1 Pengasingan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya
Syor 2 Penambahbaikan proses pelantikan anggota badan pengurusan pilihan raya
Syor 3 Penubuhan Suruhanjaya Sempadan Pilihan Raya
Syor 4 Pemansuhan kategori pasangan tentera dan pasangan Pasukan Gerakan Am sebagai Pengundi Tidak Hadir
Syor 5 Pendaftaran tentera dan polis sebagai pemilih mengikut alamat tempat tinggal
Syor 6 Pelantikan pemerhati antarabangsa dan tempatan semasa pilihan raya umum
Syor 7 Pewujudan tataetika Kerajaan Sementara
Syor 8 Penambahbaikan autoriti dan sumber badan pengurusan pilihan raya
Syor 9 Pemerkasaan kuasa mengemas kini rekod daftar pemilih
Syor 10 Pemindahan fungsi pendaftaran parti politik kepada Suruhanjaya Pilihan Raya
Syor 11 Peruntukan kuasa pengurusan liputan media kepada Suruhanjaya Pilihan Raya
Syor 12 Peruntukan kuasa adjudikasi dan penguatkuasaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya
Syor 13 Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara-perkara asas dan procedural dalam urusan pilihan raya
Syor 14 Pewujudan akta bersepadu bagi urusan pilihan raya
Syor 15 Pewujudan kerangka perundangan bagi menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai agensi peneraju pengurusan pilihan raya
Syor 16 Penyelarasan bidang kuasa agensi-agensi dalam urusan pilihan raya
Syor 17 Penetapan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri diumumkan enam (6) bulan sebelum tarikh sebenar
Syor 18 Penambahbaikan tataetika kempen pilihan raya
Syor 19 Penubuhan jawatankuasa konsultatif Suruhanjaya Pilihan Raya bersama parti politik
Syor 20 Pewujudan undang-undang berkaitan penyaluran dana awam kepada parti politik
Syor 21 Pewujudan undang-undang berkaitan penyaluran sumbangan orang awam dan pihak swasta kepada parti politik
Syor 22 Penyediaan platform media yang adil
Syor 23 Pewujudan tataetika media untuk menjamin liputan media yang adil dan sama rata
Syor 24 Had umur kelayakan mengundi 18 tahun
Syor 25 Pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik
Syor 26 Pewujudan sistem pengurusan alamat nasional dengan pengecam unik (unique identifier)
Syor 27 Penekanan kepada dasar mendaftar dan mengundi di tempat tinggal
Syor 28 Penambahbaikan kategori pengundi yang boleh diwartakan layak mengundi secara pos
Syor 29 Pengenalan kaedah pengundian khas
Syor 30 Penambahbaikan kemudahan dan kapasiti perkhidmatan urusan pengundian
Syor 31 Pengenalan sistem Closed List Propotional Representation (CLPR) di peringkat Dewan Rakyat
Syor 32 Mengekalkan sistem First-Past-The-Post sebagai sistem pemilihan di peringkat Dewan Undangan Negeri
Syor 33 Penetapan dasar seorang calon hanya boleh bertanding bagi satu (1) kerusi
Syor 34 Pembentukan kerajaan yang stabil berdasarkan kerusi majoriti dan pengenalan kepada Recall Elections
Syor 35 Penetapan dasar 30 peratus calon wanita dalam senarai pencalonan parti
Syor 36 Pewujudan undang-undang khusus berkaitan urusan persempadanan
Syor 37 Memastikan keseimbangan pemilih dengan memperkenalkan kategori dan kriteria bagi bahagian pilihan raya
Syor 38 Mengehadkan perbezaan peratusan jumlah pengundi di setiap kategori bahagian pilihan raya
Syor 39 Penyediaan spesifikasi dan penetapan bahan kempen
Syor 40 Penetapan tempoh minimum kempen pilihan raya
Syor 41 Pewujudan tempoh bertenang
Syor 42 Penetapan tempoh penamaan calon yang lebih lama
Syor 43 Penggunaan kaedah penamaan calon secara dalam talian
Syor 44 Pengenalan kaedah cetakan kertas undi tanpa nama dan simbol untuk kegunaan pemilih pos luar negara
Syor 45 Pewujudan pusat pengiraan undi pos di pejabat-pejabat kedutaan Malaysia di luar negara
Syor 46 Penyediaan buku panduan tataetika pilihan raya
Syor 47 Pewujudan kerangka perundangan bagi menjamin hak asasi pendidikan demokrasi dan pilihan raya kepada semua rakyat Malaysia
Syor 48 Penyediaan kerangka dasar bagi pelaksanaan program berkaitan pendidikan sivik dan pendidikan pengundi
Syor 49 Penubuhan Institut Pendidikan Demokrasi, Sivik dan Pengundi Kebangsaan

Survei (survey)

Survei (item No. 1)

[1] PRK Slim: Pengundi PH pada PRU-14 dijangka kembali sokong BN – Ilham Centre

PRK Slim: Pengundi PH pada PRU-14 dijangka kembali sokong BN – Ilham Centre

Pengundi yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu dijangka kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil N58 Slim yang berlangsung pada Sabtu.

Kajian yang dibuat oleh lham Centre mengenai pola pengundian dalam kalangan penduduk tempatan di kawasan Slim mendapati, BN akan memperoleh kemenangan yang besar.

Dapatan daripada kajian bertajuk ‘BN dijangka menang besar, calon pejuang lebih terampil’ itu dijalankan melalui survei dan temubual individu dan berkumpulan (FGD) bermula 7 hingga 27 Ogos lalu mengenai pola pengundian dalam kalangan penduduk tempatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Ia melibatkan pemilihan 502 responden sebagai sampel dalam kajian yang dilalukan secara tatap muka di Slim.

Pensampelan responden dibuat melalui persampelan rawak berstrata melalui semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan mengambil kira demografi yang dapat mewakili kawasan kajian di Slim.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 23,094 pengundi awam dan pengundi awal serta pengundi pos layak membuang undi mereka dalam pilihan raya kecil itu.

Kajian Ilham Centre terhadap 6,144 pengundi mendapati perubahan pola pengundian boleh berlaku berikutan keadaan politik dan prestasi PH.

“Dalam kajian ini, kami cuba mendalami bagaimana psikologi pengundian dalam kalangan 6,144 pengundi yang mengundi PH dalam PRU 14 yang lalu.

“Menariknya dalam dapatan kajian kami, bagi penyokong BN yang dahulunya mengundi PH menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan kembali menyokong BN kali ini. Ini kerana pada persepsi mereka, kerajaan di bawah PH gagal membawa perubahan yang diharapkan.

“Tidak melaksanakan manifesto, menghapuskan beberapa subsidi penting orang Melayu antara hujah yang menyokong segmen pengundi ini untuk mengubah pola sokongan mereka,” kata kajian itu.

Kajian Ilham Centre turut mendapati pengundi Cina di Pekan Slim dan Sungai Slim Utara berbelah bahagi walaupun kecewa dengan prestasi PH semasa memerintah.

Namun langkah mengambil alih kerajaan sebelum tamat penggal pemerintahan memberi ruang kepada pembangkang (PH).

“Responden etnik Cina menyatakan kemungkinan anak-anak mereka yang berada di luar kawasan tidak balik mengundi kerana tiada faktor mendesak.

“Selain itu, pengundi Cina menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, malah ada yang percaya apa yang berlaku pada politik sekarang adalah atas perancangan beliau.

“Dengan persepsi meluas ini, kami tidak dapat membaca dengan jelas ke mana hala tuju undi kaum Cina di dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) ini yang mana dahulunya menyumbang kepada undi terbesar kepada calon PH,” jelas kajian itu lagi.

Mengenai pergolakan politik ketika ini, kajian Ilham Centre juga mendapati naratif Melayu-Islam mendominasi pola pengundian.

“Tumpuan perbincangan di kalangan pengundi Melayu lebih tertumpu kepada penyatuan dua parti terbesar Melayu iaitu antara UMNO dan Pas.

“Perkara ini kami temui sangat dominan dengan naratif kuasa kerajaan Melayu-Islam kini melegakan orang Melayu seolah-olah keluar daripada belenggu sengsara pemerintahan PH selama 22 bulan itu,” kata Ilham Centre.

Bagaimanapun, terdapat sentimen dalam kalangan pengundi berhubung perubahan kerajaan PH kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak memberi impak kepada pengundi.

“Sebaliknya mereka (pengundi) berasa sangat selesa dengan pentadbiran yang dikatakan kerajaan Melayu-Islam. Mereka menyalahkan PH yang gagal membela agenda Melayu-Islam ketika mereka di puncak kuasa.

“Tambah menarik lagi, kami (Ilham Centre) mengenal pasti elemen serangan kepada DAP yang digambarkan sebagai parti yang tidak sensitif dengan sentimen pengundi Melayu,” katanya.

Kajian turut mendapati naratif berbaur agama dan sentimen Melayu menebal dan melabar pada segmen pengundi Melayu terutama di kawasan perkampungan Felda dan kampung tradisi di DUN itu.

Isu yang dibawa oleh PH pada PRU-14 yang lalu juga didapati tidak lagi dapat menarik golongan itu.

“Jentera (parti) Pejuang yang dibantu oleh PH cuba mengalih semula ke tajuk yang memangkin sokongan kepada PH dalam PRU14 lalu dengan tema rasuah, kleptokrasi, kerajaan pintu belakang dan seputar isu-isu yang panas di Parlimen.

“Kami dapati tiada lagi keterujaan (excitement) dalam kalangan pengundi pada tema-tema sedemikian,” tegas Ilham Centre lagi.

Rumusan kajian juga mendapati calon BN mempunyai peluang untuk mengekalkan kerusi DUN itu disebabkan atas demografi pengundi.

Bagaimanapun, ia dilihat tidak menguji kemampuan Mohd Zaidi Aziz (BN) berbanding calon Pejuang yang dilihat lebih menonjol.

“Sekiranya disukat pada kayu aras kewibawaan calon, Amir Khusyairi lebih menonjol berbanding Mohd Zaidi. Menariknya, pertembungan dua anak tarbiah PKPIM/ABIM semasa di kampus membawa wadah dan aspirasi perjuangan yang berbeza di alam politik.

“Sekiranya Amir Khusyairi mampu mengekalkan undi yang diperoleh PH ataupun tidak hilang wang pertaruhan, maka ianya boleh dianggap satu kejayaan buat parti Pejuang dalam menempatkan mereka sebagai sebuah parti baharu dalam landskap politik negara,” kata Ilham Centre.

Dari sudut jumlah undi, Pejuang jelas kajian akan memberi skala pemberat kepada penerimaan pengundi meskipun dijangka didominasi oleh Muafakat Nasional.

Manakala calon ketiga, Santharasekaran Subramaniam seorang bekas guru dilihat tenggelam dan tidak mampu memberi saingan terhadap dua calon itu.
Namun begitu, usaha Santharasekaran menurut kajian boleh dianggap sebagai meraikan ruang demokrasi yang wujud dalam politik di negara ini.

   

Pautan (links)

[1] The International Institute for Democracy and Electoral Assistance (IDEA)

[2] ACE Electoral Knowledge Network

[3] Association of European Election Officials (ACEEEO)

[4] International Foundation for Electoral Systems (IFES)

[5] Merdeka Center – For Opinion Research