Tun Samy Vellu, bekas Presiden MIC dan menteri Kabinet meninggal dunia

Tun S. Samy Vellu meninggal dunia di rumahnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, dalam tidur.

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu meninggal dunia pagi ini.

Beliau yang juga merupakan mantan menteri Kabinet persekutuan berumur 86 tahun.

Kematian beliau diumumkan oleh seorang lagi veteran MIC, Tan Sri Dr S. Subramaniam.

“Dengan rasa sedih dan pilu saya menerima berita tragis kematian Tun Samy Vellu, bekas presiden MIC dan menteri lagenda dalam Kabinet Malaysia daripada anaknya Datuk Seri Vell Pari,” tulis Dr Subramaniam di laman Facebook.

Samy Vellu difahamkan meninggal dunia dalam tidur, di rumahnya di Jalan Ipoh di sini.

Samy Vellu ialah presiden MIC ketujuh dan juga parti etnik India paling lama berkhidmat, memegang jawatan itu selama 31 tahun.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput, Perak dari September 1974 hingga Mac 2008 dan antara menteri paling lama berkhidmat selama 29 tahun.

Beliau berkhidmat sebagai menteri kerja raya dari Jun 1983 hingga Jun 1989, dan memegang jawatan itu semula dari Mei 1995 hingga Mac 2008.

Beliau juga memegang portfolio menteri untuk tenaga dan telekomunikasi dari Jun 1989 hingga Mei 1995, serta kerja dan kemudahan awam dari September 1979 hingga Jun 1983.

Dalam catatan Facebooknya, Dr Subramaniam menyifatkan Samy Vellu sebagai “mentor utama”.

“Sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat India akan kekal dalam ingatan kami.

“MIED, Universiti Aimst, dan Kolej Tafe adalah sumbangan abadi beliau,” tambahnya.

Seorang lagi naib presiden MIC Datuk C. Sivarraajh berkata pemergian Samy Vellu adalah satu kehilangan besar kepada negara dan parti.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang hebat dengan kehidupan yang berwarna-warni dan benar-benar seorang insan yang hebat yang mempunyai semangat dan prihatin terhadap masyarakat dan negara. Beliau adalah sebahagian daripada pembangunan negara ini. Tuhan memberkati rohnya,” kata Sivarraajh.