Mesyuarat MT UMNO bincang PRU15 ditangguh 2 minggu, 30 September

Mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO yang dijadualkan untuk diadakan esok, untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah ditangguhkan ke 30 September.

KUALA LUMPUR: Mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dijadualkan untuk diadakan esok, untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah ditangguhkan ke 30 September.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat 30 September akan menjadi mesyuarat penuh MT.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) terlibat dengan perasmian Sukan Malaysia (Sukma) di UKM Bangi pada malam itu,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Ahmad juga menjemput pimpinan UMNO hadir majlis Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia di Stadium Titiwangsa KL, esok.

Dua hari lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dipetik media berkata mesyuarat lima pemimpin tertinggi UMNO yang ditetapkan untuk esok telah ditangguhkan.

Bagaimanapun beliau tidak tahu sebab penangguhan berkenaan dan tarikh mesyuarat seterusnya akan diadakan.

Pertemuan antara lima pemimpin tertinggi UMNO itu dijangka membincangkan tarikh PRU15.