ADUN Melor dari PAS meninggal dunia

30 APRIL 2021: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Kelantan, Dr. Md Yusnan Yusuf meninggal dunia pada jam 2.28 pagi di kediamannya di Melor, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan salah seorang anaknya, Mohd Auzaie dalam hantaran di Facebook, lapor Malaysiakini.

“Dukacita dimaklumkan bahawa baba Dr Yusnan Albadar telah pergi menghadap Ilahi pada pukul 2.28 pagi. Mohon doakan arwah ditempatkan di kalangan para solihin,” kata beliau.

Allahyarham Md Yusnan Yusuf (Facebook)

Md Yusnan Yusuf, 53, yang juga Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri dipilih sebagai ADUN Melor pada tahun 2013 manakala dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, beliau memenangi kerusi DUN Melor dengan majoriti 647 undi.

Dalam pada itu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, kekosongan kerusi itu akan diisytiharkan selepas sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diperoleh.

“Saya akan menghubungi SPR mengenai kematian ADUN Melor, Dr Md Yusnan Yusof. Sebaik dimaklumkan barulah pengisytiharan kekosongan kerusi bagi DUN itu akan saya lakukan,” kata beliau dipetik BERNAMA.

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA UMUM KE-14

HJ AZIZ (PKR) 2,122
CIKGU HAJI AZMI (BN) 7,173
DR. YUSNAN (PAS) 7,820

JUMLAH PENGUNDI: 21,240
MAJORITI: 647
UNDI ROSAK: 335
KELUAR MENGUNDI: 17,586 (82.8%)