COVID-19: Kerajaan kaji akta baharu berkaitan pilihan raya

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu membabitkan proses pilihan raya untuk mengekang penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata ia susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September lalu menyaksikan perhimpunan beramai-ramai yang mengakibatkan peningkatan mendadak kes COVID-19.

“(Pilihan raya) ini adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan saya tidak boleh memberi maklumat lanjut, sama ada pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU) boleh atau tidak dilakukan, tetapi kerajaan sentiasa memantau.

“Jika perlu wujudkan akta tertentu, kerajaan akan sentiasa mengkaji dan membuat cadangan kepada rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sama ada kerajaan akan mewujudkan akta tertentu seperti memendekkan tempoh berkempen atau kaedah kempen baharu bagi mengekang penularan COVID-19.

Menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), Mohd Redzuan berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan di seluruh negara bagi membendung penularan COVID-19 ketika ini.

Menerusi pelaksanaan itu, katanya, semua sektor dan aktiviti dibenarkan beroperasi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang menekankan kepada amalan protokol kesihatan dan norma baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kawalan di sesuatu kawasan atau lokaliti akan diperketatkan, jika berlaku peningkatan kes COVID-19, melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ia bagi membolehkan Kementerian Kesihatan melaksanakan tindakan pencegahan, pemulihan atau mitigasi di dalam kawasan terbabit. Saringan COVID-19 dilakukan terhadap individu bergejala kerana selagi tiada vaksin, sesiapa sahaja pada bila-bila masa boleh dijangkiti.

“Langkah pencegahan terbaik ialah dengan membudayakan dan mengamalkan normal baharu kehidupan seperti penjarakan fizikal dan pematuhan kawalan kebersihan,” katanya.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga berjaya menurunkan keluk penularan wabak COVID-19 dan mencegah daripada berlakunya gelombang kedua penularan pandemik itu.

“Empat fasa PKP berakhir pada 12 Mei lalu, digantikan dengan fasa PKPB bermula daripada 13 Mei hingga 9 Jun lalu, seterusnya PKPP dari 10 Jun hingga 31 Ogos lalu.

“Ia adalah langkah ‘exit strategy’ secara berhati-hati dengan pembukaan secara berperingkat hampir semua sektor ekonomi dan juga sosial berpandukan SOP ditetapkan.

“Mekanisme pengurusan krisis negara dilaksanakan ini berjaya mengawal penularan wabak COVID-19 dan mengelakkan fasiliti kesihatan seperti hospital serta klinik terbeban dengan jumlah kes terlalu tinggi,” katanya. Sumber:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/748979/covid-19-kerajaan-kaji-akta-baharu-berkaitan-pilihan-raya