DUN Johor bersidang 12 Ogos

23 JUN 2021: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan bersidang pada 12 Ogos ini.

Sultan Ibrahim juga berkenan untuk berangkat bagi merasmikan istiadat pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor pada tarikh tersebut.

Baginda juga menzahirkan rasa kecewa kerana sehingga ke hari ini penularan COVID-19 masih belum dapat diselesaikan.

“Saya mahu semua ahli Dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi Negeri Johor dengan sebaiknya.

“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini,” titah baginda hari ini.

Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin.

Pakatan Harapan (PH) Johor pada 17 Jun lalu berkata sedia berbincang dengan menteri besar agar usaha dilakukan bagi membuka semula DUN.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah Parlimen segera bersidang selepas sesi perbincangan khas Raja-raja Melayu di Istana Negara.

Pada 25 Mei lalu, Sultan Ibrahim bertitah agar semua anggota Parlimen dan ADUN di Johor mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penularan wabak Covid-19 dan kesannya kepada penduduk negeri itu.

PH Johor berkata, negeri itu menjadi suri teladan apabila mesyuarat tersebut direalisasikan pada 27 Mei secara atas talian dan dipengerusikan oleh menteri besarnya sendiri.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Parlimen hanya boleh dibuka semula apabila pelan pemulihan negara berkaitan COVID-19 memasuki fasa ketiga.

Peralihan ke fasa ketiga akan dibuat selepas purata kes harian tidak lebih 2,000, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh.

Ia dijangka dapat dicapai pada bulan September.

Leave a Reply