Hadi ajak semua kumpulan Islam selamatkan negara dalam pakatan baharu bersama BERSATU

2 APRIL 2021: PAS menegaskan pendiriannya menolak untuk menyertai agenda politik yang bertujuan menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, berbanding melindungi negara dan rakyat.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan bahawa pihaknya menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal Muafakat Nasional (MN) iaitu berjuang bagi membela semua golongan dengan asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.

Selain itu, katanya, PAS juga menolak sebarang permuafakatan yang tidak membawa kepada penyatuan, selain enggan bekerjasama dengan kumpulan yang mencabar agama dan bangsa.

Abdul Hadi mengajak semua kumpulan Islam bergerak dengan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.

Kata beliaum ia adalah tawaran baharu daripada PAS yang disifatkan berintegriti dan berkebajikan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan serta meraikan masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa.

“PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, PN bersama-sama dengan BERSATU yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti, selain bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.”

Katanya, PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat MN yang asal.

“PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.

“PAS juga menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat,” kata beliau.

Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan itu dua hari selepas PAS dan BERSATU memaklumkan menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU-15, terutama membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Leave a Reply