Mandat DUN Sarawak berakhir, pilihan raya ditangguh

6 JUN 2021: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pilihan raya umum ke-12 Sarawak yang dijadual diadakan pada tahun ini ditangguhkan meskipun hari ini merupakan hari terakhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ini susulan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Jan lepas dan di bawah peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Pilihan raya negeri terakhir telah berlangsung pada 7 Mei 2016. Mandat lima tahun berakhir hari ini. Kini kali pertama dalam sejarah negara dan negeri, pilihan raya ditangguhkan apabila mandat berakhir.

“Tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak hendaklah diadakan pada tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga memberitahu bahawa SPR hari ini telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung tamat tempoh DUN yang ke-18.

Bagaimanapun di bawah Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kuasa untuk memanggil, memprorog dan membubarkan DUN Sarawak tidak mempunyai kesan, katanya.

Terdahulu, Mohd Asfia dilaporkan sebagai berkata bahawa DUN Sarawak akan kekal berfungsi di bawah Ordinan Darurat hingga 1 Ogos depan.

Berdasarkan perlembagaan negeri, penggal DUN semasa berakhir selepas hari ini iaitu cukup tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

Leave a Reply