Menjelang usul undi percaya, PN tawar rangka persefahaman libatkan pembangkang

13 OGOS 2021: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhadapan dengan tekanan dalam mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional berkata pihaknya telah bersepakat untuk berhubung dan berunding dengan pemimpin parti di luar gabungan itu bagi memastikan undi percaya ke atas dapat diluluskan.

Perdana Menteri berkata, langkah itu dibuat agar kerajaan PN dapat terus berfungsi sehingga tiba waktunya rakyat mendapat kembali hak memberikan mandat kepada pihak yang dirasakan wajar menjadi kerajaan.

“Kami (PN) telah mencapai satu kata sepakat, untuk berunding dengan pimpinan-pimpinan parti di luar PN bagi meluluskan undi percaya kepada perdana menteri di Dewan Rakyat,” kata beliau dalam ucapan khas hari ini.

Dalam ucapan itu, yang dibuat tiga minggu sebelum usul undi percaya dibawa ke Parlimen, Muhyiddin turut membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang diilhamkan PN agar mendapat sokongan semua parti.

Antara rangka persefahaman digariskan Muhyiddin:

  • RUU Perbekalan akan dirundingkan terlebih dahulu dengan semua ahli parlimen tanpa mengira parti sebelum dibentangkan di Parlimen
  • Pelaksanaan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang mengambil masa
  • Mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal
  • Ketua Pembangkang diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri kanan
  • Undang-undang antilompat parti
  • Peruntukan tahunan yang sama kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik
  • Separuh daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dipengeruskan oleh ahli parlimen pembangkang

Kata Muhyiddin, sesetengah reformasi seperti mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan undang-undang antilompat parti – memerlukan pindaan perlembagaan.

Dengan cadangan itu, Muhyiddin membayangkan satu kerajaan yang lebih stabil dan inklusif sekiranya undi percaya ke atasnya nanti diluluskan.

Pun begitu untuk rekod pengkritik berpendapat sebahagian daripada idea yang dikemukakan Muhyiddin itu berasal daripada tawaran dibuat Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Malah sesetengahnya sudah diusahakan dan dalam peringkat pelaksanaan, seperti Undi 18.

Muhyiddin menambah beliau akan menghantar jemputan rasmi kepada semua pemimpin parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangannya itu pada minggu hadapan bagi mendengar pandangan mereka.

“Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini,” kata beliau.

Katanya, jika cadangan kerjasama bipartisan ini dipersetujui, beliau akan memanggil sidang khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada perdana menteri dalam masa terdekat.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” katanya lagi.

Leave a Reply