Timbalan Presiden UMNO: Tolak kerjasama dengan BERSATU pendirian lebih 100 bahagian

6 MAC 2021: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan keputusan pihaknya menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dipengaruhi mana-mana individu.

Menurut beliau, lebih 100 bahagian menggesa supaya UMNO tidak meneruskan kerjasama dengan BERSATU dan ia bukannya keputusan perseorangan.

“UMNO satu parti yang matang. Penolakan itu bukan kerana sesiapa. UMNO tidak lagi bersama-sama BERSATU semasa pilihan raya nanti,” kata beliau dipetik BERNAMA.

“Ia bukan keputusan seorang dua tetapi keputusan daripada lebih 100 bahagian, jadi tidak timbul isu dipengaruhi sesiapa.” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional Negeri Sembilan. Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha turut hadir dalam mesyuarat tersebut.

Sebelum ini bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa, UMNO kini seperti sudah berada di bawah pengaruh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan memberitahu, UMNO kekal dengan pendirian bekerjasama dengan PAS untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), susulan gesaan lebih 100 bahagian untuk terus memperkasakan MN.

https://www.electionmalaysia.net/wp-content/uploads/2021/03/KENYATAAN-SETIAUSAHA-AGUNG-UMNO-4-MAC.jpeg

Leave a Reply