UMNO beri 14 hari untuk kerajaan panggil sidang Parlimen

21 JUN 2021: UMNO berpendirian tegas mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah.

UMNO merupakan sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN).

“Tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, sebagai parti yang diasaskan dengan tujuan memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu, UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Kedua-dua kenyataan itu menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Sehubungan itu kata Zahid, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.

UMNO berpendirian, Parlimen amat mustahak untuk diadakan segera bagi membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani pandemik COVID-19.

Ia juga bagi memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Leave a Reply