ADUN Sebatik Hassan Gani keluar WARISAN, sokong GRS

25 FEBRUARI 2021: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Sabah, Hassan A Gani Pg Amir daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengumumkan keluar parti itu.

Hassan A Gani berkata, beliau kini seorang wakil rakyat Bebas dan akan menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

“Saya melihat perkara yang diperlukan oleh negara pada hari ini adalah kestabilan politik. Kestabilan ini penting untuk memastikan kerajaan dapat memberikan sepenuh perhatian dalam menangani Covid-19 dan menjaga kesejahteraan rakyat.

“Saya amat berdukacita melihat pendirian Parti Warisan yang dilihat masih bermain dengan rentak politik Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan kepentingan politik berbanding kesejahteraan rakyat yang terbeban dengan isu COVID-19,” kata beliau kepada BERNAMA.

Susulan tindakan Hassan A Gani menyokong GRS, gabungan itu yang dianggotai parti komponen Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah kini memiliki sokongan 48 Adun daripada keseluruhan 79 Adun negeri tersebut. Hassan A Gani berkata, antara punca yang amat mengecewakan dirinya ialah tindakan Warisan menolak Belanjawan 2021 di Parlimen yang menurut beliau jelas membelakangkan kepentingan rakyat terutama dalam usaha menangani Covid-19.