Agong bertitah Parlimen boleh bersidang ketika darurat

24 FEBRUARI 2021: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini.

Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri, demikian menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, Ahmad Fadil Shamsuddin turut memaklumkan terdahulu Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara Senator, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini. “Dalam sesi mengadap ini, Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Source: Press release 24 Februari