Annuar Musa yakin gabungan UMNO-PAS-BERSATU boleh sapu 149 kerusi Parlimen

16 MAC 2021: Datuk Seri Annuar Musa yakin bahawa UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) boleh kesemua 149 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu sekiranya ketiga-tiga parti itu kekal bergabung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, tiga parti tersebut berpotensi besar untuk memenangi semua kerusi majoriti Melayu pada PRU-15 jika terus mengekalkan permuafakatan dan tidak berpecah.

“Kita ada 222 kerusi Parlimen, termasuk 31 di Sarawak. Kawasan berpotensi ditandingi BN dan rakan lain ada 191 kerusi, namun kawasan majoriti Melayu mempunyai 149 kerusi. Di 149 kerusi ini, kalau ada permuafakatan serta tidak berpecah, kita berpotensi untuk memenangi semuanya.

“Jadi, formula kemenangan sudah ada dalam kerajaan hari ini,” kata beliau dipetik Berita Harian.

Mengenai rundingan kerusi mungkin berdepan kesukaran jika ketiga-tiga parti itu bekerjasama pada PRU-15, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional berkeyakinan pembahagian 149 kerusi itu boleh dirunding dengan baik.

Secara asas, beliau berkata, kesemua 55 kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU-14 perlu dipertahankan parti itu, namun sebarang rundingan boleh dilakukan pada peringkat Presiden ketiga-tiga parti.

“Ada lagi 11 kerusi yang UMNO mendapat undi lebih tinggi daripada PAS. PAS pula mempunyai enam kerusi yang memperoleh lebih banyak undi daripada UMNO,” kata beliau.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Keterah berkata, PAS boleh memenangi 25 kerusi dan UMNO boleh memenangi 66 kerusi.

“Masih belum habis, ada kerusi lain yang boleh dipertimbangkan kepada BERSATU. Yang pasti muafakat membawa kejayaan, itu masih boleh diusahakan,” kata beliau.

Ditanya kedudukan kerusi Parlimen yang sebelum ini dimenangi atas tiket UMNO tetapi penyandangnya kini sudah menyertai BERSATU pula, Annuar berpandangan bahawa UMNO perlu diberi keutamaan untuk bertanding di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa pertimbangan boleh dibuat melalui rundingan, terutama membabitkan sesetengah kerusi dimenangi BERSATU pada PRU-14 yang mungkin boleh diberi kepada UMNO pada PRU-15.

“Sebagai contoh Parlimen Langkawi, Kubang Pasu, Jerlun, Muar, Seri Gading atau Simpang Renggam. Ini kerusi yang dimenangi BERSATU tetapi ahlinya (ketika itu) kini sudah pergi ke tempat lain.

“Secara dasarnya, 55 kerusi dimenangi UMNO perlu dipertahankan oleh UMNO, namun bukanlah tegar. Itu biarlah Presiden berunding dengan Presiden,” kata beliau lagi.

Leave a Reply