Perluas hak jadi pengundi tidak hadir

Oleh Amerul Muner Mohammad

PILIHAN RAYA adalah antara tiang utama dalam sistem demokrasi yang diamalkan di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Setiap warganegara yang layak, mempunyai hak untuk memilih calon di dalam pilihan raya bagi membawa suara dan aspirasi mereka ke dalam proses pembikinan undang-undang samada di Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri. Hak ini termaktub di dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Hasil daripada Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019, di mana, syarat umur layak mengundi telah diturunkan kepada 18 daripada 21 tahun dan pendaftaran automatik bagi pengundi yang layak, Malaysia akan mempunyai tambahan 4.7 juta pengundi baharu menjadikan jumlah pengundi berdaftar seramai 22.7 juta orang. Pendaftaran pengundi secara automatik adalah satu langkah positif yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memudahkan masyarakat sejajar dengan tanggungjawab yang dinyatakan di dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Setiap pengundi berdaftar harus hadir dan mengundi secara kendiri di pusat-pusat mengundi yang ditetapkan oleh SPR melainkan pengundi-pengundi yang diklafikasikan sebagai Pengundi Tidak Hadir seperti yang ditaksirkan di dalam Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 iaitu anggota tentera dan isteri atau suami, kakitangan awam Malaysia yang sedang berkhidmat di luar negara dan isteri atau suami masing-masing, pelajar sepenuh masa yang belajar di institusi pengajian tinggi di luar negara dan isteri atau suami masing-masing.

Bagi anggota tentera dan isteri atau suami masing-masing, mereka boleh mengundi awal, iaitu biasanya tiga hari sebelum hari mengundi. Petugas media yang membuat liputan pilihan raya semasa hari pengundian juga boleh mohon untuk mengundi secara pos.

Di samping pengundi pos yang dinyatakan terdahulu, SPR juga mempunyai kuasa di bawah Peraturan 3(1)(e) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2002 untuk memasukkan mana-mana kategori orang sebagai pengundi pos. Melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 23 Oktober 2017, SPR telah memasukkan kategori tambahan pengundi pos yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Petugas kesihatan (hospital dan klinik kerajaan saja), anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, kakitangan Jabatan Penjara Malaysia, anggota Polis Simpanan Sukarela, kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia, ahli Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara, petugas Jabatan Pendaftaran Negara yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Namun masih terdapat ramai pengundi berdaftar yang tidak dapat menunailan hak mereka untuk mengundi kerana tuntutan kerja. Bukan hanya tentera, polis dan imigresen yang perlu bekerja sepenuh masa. Juruterbang, paramugari dan paramugara, kakitangan teknikal dan pelbagai pekerja sektor penerbangan awam dan pengurusan lapangan terbang juga tidak dapat meninggalkan tempat kerja untuk mengundi. Kakitangan perkapalan dan pelabuhan, pekerja-pekerja Tenaga Nasional Berhad, Telekom Berhad, Mass Rapid Transit (MRT), kakitangan Keretapi juga antara yang terbabit dan harus diberi keutamaan untuk dikatogerikan sebagai Pengundi Tidak Hadir.

Apa yang lebih menarik perhatian adalah petugas kesihatan di hospital swasta tidak diberi ruang untuk menjadi pengundi tidak hadir manakala petugas di hospital kerajaan boleh mengundi secara undi pos, walaupun kedua-dua sektor ini memberi perkhidmatan yang serupa.

Sebagai badan unggul yang mengendalikan pilihan raya, SPR juga harus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan semua pengundi berdaftar dapat melaksanakan tanggungjawab apabila tiba pilihan raya. Walaupun SPR adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang yang ada, namun undang-undang harus dikaji dari masa ke semasa bagi memenuhi keperluan rakyat. Undang-undang pilihan raya seharusnya ‘perskriptif’ dan ‘inklusif’ untuk menjadi alat yang berkesan bagi memudah cara dan bukannya penghalang kepada kebebasan untuk mengundi.

Undang-undang pilihan raya di Malaysia digubal semenjak sebelum merdeka. Kini telah tiba masanya untuk dikaji semula secara komprehensif sebagaimana yang disarankan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya baru-baru ini. Pilihan raya yang bebas, adil dan telus melambangkan integriti pentadbiran negara yang tinggi dan membawa kepada keabsahan sesuatu kerajaan.

Amerul Muner Mohammad merupakan mantan Ketua Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC)

Leave a Reply