BERSATU, PAS sepakat bersama Perikatan Nasional hadapi PRU15, tolak penjajaran baharu

BERSATU, PAS sepakat bersama Perikatan Nasional hadapi PRU15, tolak penjajaran baharu

1 APRIL 2021: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS sepakat untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kedua-dua parti itu juga menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Menerusi kenyataa media dikeluarkan semalam, BERSATU dan PAS berkata, pihaknya juga akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti untuk menghadapi PRU15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen.

Kenyataan media bersama BERSATU dan PAS yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada 31 Mac 2021.

“BERSATU dan PAS sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut,” kata kedua-dua parti itu, sekali gus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut dicapai selepas kepimpinan tertinggi kedua-dua parti mengadakan pertemuan pada Selasa lalu. Pertemuan itu melibatkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“BERSATU dan PAS menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputera terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” ujar kenyataan itu lagi.

Leave a Reply