Menteri Umno setuju kekal dalam kerajaan PN, kata Muhyiddin

31 MAC 2021: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan barisan menteri dari Umno dan menasihati mereka agar kekal dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Pertemuan itu telah berlangsung pada hari Isnin iaitu sehari selepas tamatnya Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet berikutan keputusan PAU bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.

“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus kekal berada dalam Kabinet,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi hari ini.

Dalam perhimpunan agung Ahad lalu, UMNO membuat keputusan muktamad tidak lagi bekerjasama dengan BERSATU.

Selain itu, parti tersebut turut memberi mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tarikh menarik diri daripada kerajaan PN.

Menurut Zahid, apabila tarikh itu diputuskan, semua ahli parlimen yang dilantik sebagai menteri, timbalan menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan meletak jawatan bersama.

Muhyiddin berkata lagi, dengan keputusan yang dicapai dengan barisan menteri Umno, Kabinet akan terus berfungsi seperti biasa.

“Beberapa orang menteri dari Umno memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini (untuk memerangi wabak Covid-19).

“Justeru, saya tidak mahu peletakan jawatan mereka menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” kata beliau.

Sebahagian kandungan kenyataan media dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Leave a Reply