UMNO sebulat suara putus kerjasama dengan BERSATU

28 MAC 2021: Perhimpunan Agung UMNO sebulat suara memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang merupakan parti utama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhimpunan kali ini turut meluluskan usul supaya Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.

“Dalam konteks ini, usul lain yang dicadangkan dan diterima sebulat suara perwakilan UMNO bahawa PRU15 mesti diadakan dalam tempoh dari 1 Ogos 2021 selepas darurat tamat atau satu tarikh sebelumnya jika darurat ditamatkan (lebih awal),” kata beliau.

Pengerusi BN itu menegaskan, persetujuan yang dicapai pada perhimpunan ini menunjukkan UMNO kini tidak lagi berada di persimpangan dalam hal kerjasama politik parti itu.

Kata beliau, semua ahli UMNO perlu mematuhi sepenuhnya keputusan berkenaan yang telah dicapai adalah sangat jelas.

“Susulan keputusan besar hari ini, saya serta ketua-ketua sayap akan membawa usul yang sebulat suara diluluskan ini ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang,” kata beliau.

Mengenai cadangan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah supaya pemimpin yang dilantik oleh kerajaan PN sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan meletak jawatan, beliau berkata, cadangan tersebut akan diteliti pada mesyuarat MT akan datang.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi bayangan mereka akan menarik diri daripada pada Ogos iaitu pada tarikh pelaksanaan darurat dijangka tamat.

Menurut beliau, dalam isu kerjasama dengan PN dan BERSATU, UMNO perlu dilihat serius dan mengotakan setiap apa yang mereka lafazkan, bukan hanya “bersilat pulut.”

“Paling penting ialah UMNO mesti menang pilihan raya umum supaya berupaya tubuh kerajaan, menang selesa jangan harap belas ihsan orang. Bina kekuatan sendiri, berdiri atas kaki sendiri, perkasakan parti, kuatkan parti untuk hadapi PRU15.

“Tarik diri bulan lapan (Ogos), jangan main silat pulut tak sudah. Kita gajah besar parti terbesar masuk hutan satu ranting pun tak patah, apo bondo?

“Kalau nak langgar bulan lapan (Ogos), langgar. Jangan main acah-acah,” kata beliau dalam ucapan penagguhan.

Leave a Reply