UMNO sasar tanding 120 kerusi Parlimen dalam PRU-15

28 MAC 2021: UMNO meletakkan sasaran untuk bertanding 120 kerusi dengan menang sekurang-kurangnya 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, ini bermakna UMNO perlu bertanding di 120 kerusi Parlimen jika mahu mencapai sasaran itu.

Beliau berkata, jika UMNO bertanding hanya 80 kerusi, kemungkinan parti itu hanya menang di 60 kawasan.

“Saya cakap kena menang sekurang-kurangnya 80 kerusi dan bukan bertanding hanya 80 kerusi. Kalau begitu, UMNO hanya menang 60 kerusi sahaja.

“Jika hendak menang 80 kerusi, kita mesti bertanding lebih melainkan yakin 100 peratus boleh menang. Namun saya yakin UMNO akan menang lebih daripada itu.

“Dalam mana-mana pilihan raya, kita mesti letak margin sekurang-kurangnya 20 peratus. Oleh itu, kita kena bertanding lebih daripada 80 kerusi,” kata beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Kuala Lumpur semalam.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan bahawa UMNO akan bertanding tidak kurang daripada 80 kerusi Parlimen dengan tahap keyakinan tinggi menang disasarkan antara 70 hingga 80 kerusi.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, perkara itu bergantung terhadap sebarang kemungkinan bakal berlaku termasuk membabitkan rundingan dengan PAS berhubung agihan kerusi.

Katanya, UMNO perlu mengambil kira agihan kerusi yang adil dengan Pas.

“Rundingan dengan PAS masih berjalan untuk mendapat keuntungan besar dalam pilihan raya. Tidak guna menang jika UMNO terhengeh-hengeh.

“Kita (UMNO) mesti menang besar dan ketuai negara ini,” katanya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menegaskan UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen kini disandang oleh bekas pemimpin yang melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Leave a Reply