PAS tetap bersama PN dan MN, kata Hadi

28 MAC 2021: PAS tetap dengan pendirian mahu memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), walaupun UMNO dilaporkan bersedia untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, terpulang kepada UMNO jika parti itu memilih untuk bergerak solo pada PRU-15 kelak.

“Itu kena tanya UMNO, terpulang kepada dia (UMNO) tetapi kita (PAS) tetap bersama PN dan MN. Kita menuju ke arah pertandingan dua penjuru pada PRU-15 dan tidak mahu rakyat berpecah banyak,” kata beliau sambil menambah, “kita mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang adil dan kuat kerana kerajaan hari ini mendapat majoriti mudah. Kita memerlukan majoriti besar.”

“Kalau mendapat majoriti besar sekalipun tetapi tidak adil dan hanya mahu mengekalkan kuasa, juga tiada ertinya. Ini kerana kekuatan kita bergantung pada keadilan terhadap rakyat, bukan kerana mendapat kuasa hingga bila-bila,” kata Ahli Parlimen Marang selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila, Marang, dipetik BH Online.

Abdul Hadi ditanya mengenai laporan media bahawa UMNO akan bergerak solo jika PAS memilih untuk tidak bersama parti itu pada PRU-15.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan pembahagian kerusi dengan PAS masih berjalan dan belum muktamad, setakat ini.

Leave a Reply