Muhyiddin: Kami tidak takut hadapi Undi 18

28 MAC 2021: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyuddin Yassin berkata gabungannya tidak bimbang untuk menghadapi pelaksanaan Undi 18.

Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Perdana Menteri berkata, penangguhan undi 18 tahun yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lalu tidak seharusnya dijadikan isu politik oleh mana-mana pihak.

Katanya, PN menghormati keputusan dibuat SPR yang merupakan sebuah badan bebas.

“Ada kata kerajaan PN takut, kami tidak takut, malah sebahagian besar anak muda saya yakin menyokong kerajaan.

“Jadi mengapa kita terlalu emosi dalam hal ini, lagi cepat lagi bagus (Undi18 dilaksanakan) tapi nak buat macam mana,” ujarnya.

Malah kata beliau, penangguhan itu juga bukan disebabkan pentadbirannya berasa ‘takut’ dengan pelaksanaan undi 18 tahun itu sebaliknya pihaknya mendesak agar Undi18 dilaksana menjelang September, namun badan itu tidak dapat berbuat demikian.

“Kita berbincang mengenai isu ini, saya kata tak boleh ke September tahun ini, dia (Pengerusi SPR) kata tak boleh. Habis nak paksa macam mana.

“Kita perlu realistik dan tak perlu dipolitikkan kerana ia melibatkan perkara besar termasuk kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara kerana membabitkan jutaan pengundi,” kata beliau di Pagoh semalam.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut menjelaskan pelaksanaan Undi18 adalah tanggungjawab SPR sepenuhnya dan bukan bawah bidang kuasa kerajaan.

“Urusan ini bukan urusan kerajaan. Ia urusan suruhanjaya dan ini terserah kepada kebijaksanaan, kecekapan dan juga pengurusan sama ada ianya boleh dilaksanakan, jadi kita harap dapat dipercepatkan.

“SPR kata isu ini merupakan isu teknikal. Jadi biarlah mereka yang menguruskannya dengan sebaik mungkin,” kata beliau lagi.

Leave a Reply