Perikatan Nasional sedia tanding semua kerusi, Muhyiddin jawab UMNO

27 MAC 2021: Perikatan Nasional (PN) sedia bertanding di semua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika UMNO terus berkeras dan tidak mahu bertolak ansur berhubung pengagihan kerusi, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dilihat sebagai kenyataan terbuka yang pertama berhubung kemelut antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Muhyiddin memberitahu, beliau juga tidak kisah sama ada akan berlaku pertembungan banyak penjuru kerana ia adalah soal politik.

Presiden BERSATU itu menegaskan beliau tiada halangan sekiranya UMNO memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan partinya semasa PRU-15.

“Lebih baik UMNO ambil semua 222 kerusi Parlimen, jika menang bentuk kerajaan, tidak mengapalah. Namun, kalau UMNO mahu ambil semua, saya (PN) pun hendak ambil (tanding) semua. Satu lawan satu pun boleh, satu lawan dua pun boleh, satu lawan tiga pun boleh sebab ini politik.

“Bukan tak penting isu kerusi, penting (kerana) kalau tiada kerusi tidak dapat tubuh kerajaan tetapi saya tidak mahu jadi sombong, nanti rakyat marah,” kata beliau di Pagoh hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau memahami kenyataan pemimpin UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO kerana pernah menganggotai parti itu.

“Kita sebagai ahli politik seharusnya mendahulukan kepentingan rakyat termasuk menyelesaikan masalah berbangkit akibat pandemik COVID-19, menyelesaikan pemberian vaksin dan mengukuhkan ekonomi rakyat, berbanding isu lain,” kata beliau mengulas laporan mengenai UMNO tidak akan mengalah di mana-mana kerusi parti itu pada PRU-15.

Pagi tadi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua kerusi UMNO adalah milik parti itu dan ia tidak akan sesekali dilepaskan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, menegaskan beliau tidak mahu berdebat dan berbincang soal pembahagian kerusi secara terbuka, sebaliknya akan memberi keutamaan kepada hal rakyat terutama soal keperluan asas dan ekonomi.

“Bukan saya tidak boleh berpolitik, bukan saya tak boleh berbahas, sebahagian kehidupan saya adalah bergelumang dalam politik, saya boleh berbahas dengan sesiapa sahaja, namun itu saya elakkan buat masa ini.

“Saya nak elak begitu bukan saya takut, tetapi kerana rakyat resah, hidup susah nak makan tiada duit, makan tidak cukup untuk alas perut. Saya tak tahu kenapa parti politik tak prihatin. Ada masalah lain yang perlu diberikan keutamaan,” kata beliau.

Kataya: “Soal pertama menguruskan masalah COVID-19, soal kedua pula pemberian vaksinasi yang cukup penting dalam menentukan rakyat selamat dan sihat. Seterusnya soal ketiga pula ekonomi.”

Leave a Reply