Jangan panggil PRU selagi tak laksana Undi 18, tegas UPKO

27 MAC 2020: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), parti politik dari Sabah, menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh memohon Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat dan seterusnya mengadakan pilihan raya umum selagi dasar Undi 18 tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang berkata, keputusan SPR yang diumumkan dua hari lalu seolah-olah memberi gambaran ia merupakan jumlah yang tidak besar.

“Mungkin bagi pihak suruhanjaya ia jumlah yang kecil namun dengan jumlah tersebut ia juga boleh memberi impak yang besar terhadap keputusan pilihan raya umum. Seperti yang dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia, dalam kerajaan persekutuan sekarang ini, dengan hanya sokongan daripada seorang ahli parlimen sahaja boleh memberikan kesan besar terhadap legitimasi kerajaan Perikatan Nasional,” kata beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Nelson menolak sekiranya kerajaan menggunakan alasan kestabilan untuk mengadakan pilihan raya tanpa pelaksanaan Undi 18.

Beliau berkata, negara akan menghadapi krisis perlembagaan dan ketidakstabilan yang lebih serius dengan tuntutan-tuntutan kes-kes yang akan dibawa ke mahkamah bagi mencabar kesahihan dan legitimasi keputusan PRU.

Tambahnya, SPR juga perlu berdepan dengan masalah yang lebih serius di Sabah iaitu isu pendatang tanpa izin (PTI) yang mendapat kad pengenalan dan kewarganegaraan melalui cara yang tidak sah.

SPR mengumumkan bahawa persiapan pelaksanaan Undi 18 terjejas oleh perintah kawalan pergerakan (PKP). Menurut suruhanjaya itu, perkara tersebut hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

Leave a Reply