Undi 18: Pemimpin politik, NGO bantah kenyataan SPR

27 MAC 2021: Pelbagai pihak termasuk sebahagian Ahli Parlimen membantah kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan penangguhan pelaksanaan had umur untuk mengundi 18 tahun dan pendaftaran mengundi secara automatik yang sebelum ini dijadikan akan dilaksanakan mulai Julai ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berpandangan bahawa alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan perancangan dan persiapan SPR juga adalah sesuatu yang tidak munasabah memandangkan perintah berkaitan COVID-19 PKP dilaksanakan sejak lebih setahun yang lalu.

Sehubungan dengan itu bekas Ketua Pemuda UMNO itu menegaskan, penangguhan sehingga September 2022 bercanggah dengan kenyataan pengerusi SPR Jun tahun lalu bahawa pelaksanaan akan disiapkan selewat-lewatnya Julai ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kedua-dua langkah itu telah pun mendapat sokongan penuh kesemua anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019.

“Penurunan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik bukanlah hasrat kerajaan terdahulu semata-mata malah ia telah mendapat persetujuan kesemua parti-parti politik termasuklah menerusi ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua pertiga majoriti Dewan,” kata beliau yang merujuk kepada sokongan 211 daripada 222 ahli pada 16 Jul 2019.

Dua hari lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata, Undi 18 hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022 kerana persiapan mereka terjejas susulan PKP.

SPR memaklumkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik pemilih tidak dapat dilaksanakan sehinggalah selepas September 2022. Badan pengendali pilihan raya itu menyatakan PKPK membantutkan proses persediaan berkenaan.

Dengan pengumuman terbaru SPR hari ini, pengundi muda yang berusia di antara 18 hingga 20 tahun hanya akan dapat mengundi jika pilihan raya umum (PRU) diadakan pada 2023.

Pada masa sama banyak pihak meramalkan PRU ke-15 akan diadakan seawal hujung tahun ini. Mengikut peruntukan perlembagaan sebelum ini, warganegara yang layak mengundi hanyalah individu yang berusia sekurang-kurangnya 21 tahun.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassin pernah memaklumkan pelaksanaan pembaharuan pilihan raya yang diusahakan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dijangka menjadi kenyataan selewat-lewatnya Julai ini.

Khairy juga berkata, beliau dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan membangkitkan isu itu kepada jemaah menteri.

“Saya dan @reezalmerican akan sekali lagi bangkitkan perkara ini dalam jemaah menteri untuk menggesa SPR untuk melaksanakan undi 18 dengan segera,” kata beliau.

Reezal, juga merupakan daripada UMNO mahu dasar Undi18 dilaksanakan terlebih dahulu jika semua pindaan tidak boleh dilaksanakan serentak.

“Ini juga bermakna, anak muda masih diberi ruang untuk bersama-sama dalam satu proses penting sebuah negara demokrasi,” kata beliau.

Dalam pada itu, Persatuan Pengundi Muda atau lebih dikenali sebagai Undi18 menggesa agar kerajaan tidak menangguhkan pendaftaran pemilih automatik bagi menafikan hak golongan muda berusia 18 tahun untuk mengundi.

“Kami percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengambil lebih banyak masa untuk mempersiapkan pelaksanaan pendaftaran automatik jika perlu.

“Namun, mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun mesti diberi hak untuk mendaftar sebagai pengundi dengan segera, sesuai dengan garis masa asal untuk melaksanakan Undi 18,” kata Undi18 menerusi kenyataan.

Undi18 juga menggesa Perdana Menteri, Tan Sru Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen untuk menurunkan had usia mengundi, yang turut disokongnya pada tahun 2019.

Parti Muda merancang untuk membawa isu itu ke mahkamah bagi memaksa kerajaan mewartakan dan melaksanakan Undi 18.

Dipetik Malaysiaini, Pengasas bersama kumpulan Undi18, Qyira Yusri memberitahu Malaysiakini bahawa mereka merancang untuk mendapatkan perintah mandamus dari mahkamah.

Peguam New Sin Yew menjelaskan jika tuntutan itu berjaya, kerajaan perlu mewartakan Undi 18 dan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had usia mengundi.

Dalam pada itu, seramai Ahli Palimen mendesak Perdana Menteri dan Takiyuddin meletakkan jawatan ekoran tertangguhnya pelaksanaan Undi 18 serta pendaftaran automatik pemilih.

Dalam kenyataan bersama mereka berkata keputusan dibuat SPR merupakan penghinaan besar terhadap Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya keputusan SPR itu,” kata mereka.

Berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, kata ahli parlimen terbabit, jemaah menteri dinyatakan perlu bertanggungjawab secara bersama kepada parlimen.

Oleh itu kata mereka, langkah diambil SPR itu merupakan kegagalan bersama jemaah menteri.

“Perlu diingatkan bahawa Muhyiddin dan Takiyuddin adalah antara 211 ahli parlimen yang telah bersama-sama meluluskan pindaan berkenaan.

“Oleh itu Muhyiddin dan Takiyuddin perlu meletakkan jawatan segera,” kata mereka yang terdiri daripada Fahmi Fadzil (Lembah Pantai – PKR), Steven Sim (Bukit Mertajam – DAP), Khalid Samad (Shah Alam – Amanah), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar – Muda), Azis Jamman (Sepanggar – Warisan), Mukhriz Mahathir (Jerlun – Pejuang), Wilfred Madius Tangau (Tuaran – Upko), Baru Bian (Selangau – PSB) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam – Bebas).

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata parti itu – seperti kenyataan dikeluarkan pimpinannya – juga tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh SPR.

“Kita tak setuju sebab perkara ni patut dihormati (kerana ia) adalah apa yang sudah diundi (dan diluluskan) dalam parlimen sebelum ini,” kata beliau.

Isu Undi 18: ‘Umno dalam kabinet jadi tunggul kayu?” kata beliau dipetik Malaysiakini.

Leave a Reply