Laporan ERC: Pilihan raya milik rakyat

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima laporan penuh daripada Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman pada 27 Ogos 2020.

Tulisan terdahulu telah mengupas laporan interim Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), sebuah badan yang telah ditubuhkan oleh kerajaan pada Ogos 2018, bagi mengkaji sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini. Lapan bulan selepas itu, ERC pada 27 Ogos lalu telah menyerahkan laporan penuh yang terdiri daripada 49 syor kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pertimbangan pelaksanaan. Tugas utama ERC adalah mengemukakan cadangan dan syor bagi memastikan pilihan raya di Malaysia pada masa depan akan dilaksanakan dengan lebih adil, telus, bebas, cekap dan profesional serta sama rata supaya setanding dengan standard antarabangsa dan mendapatkan kepercayaan awam sepenuhnya.

ERC telah menjalankan satu kajian intensif dengan berfokuskan kepada 15 komponen yang spesifik untuk mencapai tahap demokrasi pilihan raya yang setaraf dengan amalan antarabangsa. Bagi mendapatkan input dan pandangan umum, sebanyak 35 sesi libat urus telah diadakan di seluruh negara dan bersama kumpulan sasar sepanjang 24 bulan. Malah, ERC juga ada menerima pandangan dan input dalam bentuk memorandum secara bertulis daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk parti-parti politik.

Dalam sidang media yang diadakan sempena penyerahan laporan, Ab Rashid berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperlihatkan sokongan dan komitmen kerajaan terhadap usaha menambah baik sistem dan undang-undang pilihan raya. “Perdana Menteri memaklumkan akan membawa laporan ERC kepada Kabinet untuk tindakan lanjut,” kata beliau yang juga mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sementara itu, ERC juga akan mengadakan sesi penjelasan kepada publik dan pihak-pihak berkepentingan mengenai syor-syor yang disenaraikan dalam laporannya sepanjang tempoh tiga bulan akan datang iaitu sehingga akhir tahun ini. “Kami ada masa beberapa bulan, kami akan memberi penerangan mengenai syor-syor ini.”

ERC tidak menetapkan sebarang tempoh untuk kerajaan melaksana syor-syor yang dikemukakan. Namun daripada kesemua syor berkenaan, Ab Rashid yakin bahawa 32 syor dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun jika diluluskan kerajaan, manakala selebihnya mengambil masa antara lima dan 10 tahun. Beliau berkata, antara syor yang dikemukakan adalah pengasingan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada SPR, dengan ia diasingkan kepada tiga badan. SPR akan kekal sebagai badan utama menguatkuasakan undang-undang pilihan raya; sekretariat pilihan raya akan menjalankan proses pilihan raya; manakala Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) pula akan melaksana urusan khas persempadanan pilihan raya.

Diyakini pelaksanaan syor-syor ERC ini, yang akan dilaksanakan secara berperingkat, akan membawa anjakan baharu kepada sistem dan undang-undang pilihan raya dalam jangka panjang. Dalam laporannya ERC turut mencadangkan pelan tindakan secara berperingkat-peringkat. Kesemua syor yang dikemukakan ini tidak boleh dilaksanakan sekali gus, sebaliknya memerlukan masa untuk berbuat demikian kerana ia turut melibatkan pindaan undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan.

“Umum sedia maklum bahawa kajian ERC ini dapat dilakukan kerana terdapat iltizam politik di pihak kerajaan. Bagi pihak seluruh rakyat Malaysia, saya selaku Pengerusi ERC ini, mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan kerana menghadiahkan iltizam politik yang begitu berharga.” Dimuat sama dalam laporan itu syor-syor berkaitan dengan langkah-langkah yang sesuai yang akan dipertimbangkan bagi melaksanakan seberapa yang boleh dan dalam jangka masa yang sesuai, syor-syor yang telah dikemukakan. Dalam hubungan ini, Ab Rashid menyeru semua pihak memberikan sokongan untuk melunasi harapan negara untuk melonjakkan amalan demokrasi negara ketahap dan kedudukan yang sama dengan Negara-negara Demokrasi yang telah maju di dunia.

“Kita semua sedia maklum bahawa pilihan raya demokrasi yang bebas, adil dan telus menjadi tunggak kepada sistem pemerintahan demokrasi. Bila sesuatu pilihan raya itu dilihat sebagai paling demokratik, itulah jua masanya kita boleh anggap bahawa pilihan raya itu adalah kepunyaan rakyat seluruhnya dan masa itu juga kita raikan capaian bahawa negara telah melakukan yang betul dan tepat dalam urusan pilihan raya demokrasi. Tanggungjawab seterusnya harus dipikul dengan bersungguh-sungguh oleh pihak-pihak yang diberikan tugas untuk melaksanakan pelbagai syor yang telah dikemukakan oleh ERC,” tambah Ab Rashid.

Syor lain dalam Laporan ERC adalah penetapan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri enam bulan sebelum tarikh sebenar; penetapan dasar seorang calon hanya boleh bertanding bagi satu kerusi, memperkenalkan tempoh bertenang sebelum hari mengundi, proses penamaan calon dalam talian dan hari penamaan calon lebih lama serta memastikan keseimbangan pemilih dengan memperkenalkan kategori dan kriteria bagi bahagian pilihan raya.

ERC juga mengesyorkan pemindahan fungsi pendaftaran parti politik diserahkan kepada SPR. Syor ERC ini turut merangkumi penyelesaian mengelakkan budaya lompat-melompat melibatkan wakil rakyat yang dipilih iaitu menerusi kaedah pilihan raya semula atau ‘recall election’. ERC juga mengesyorkan SPR perlu mempunyai kuasa untuk berfungsi sebagai audit dana parti politik. “Kita cadangkan dalam laporan ini bahawa perbelanjaan pilihan raya mesti diaudit. Ini adalah salah satu fungsi SPR kelak,” tambah beliau.

ANTARA SYOR DIKEMUKAKAN OLEH ERC

Teras Kembalikan Keyakinan dan Kepercayaan Terhadap Sistem Pengurusan Pilihan Raya

  • Pengasingan fungsi SPR
  • Penambahbaikan proses pelantikan anggota badan pengurusan pilihan raya
  • Penubuhan Suruhanjaya Sempadan Pilihan Raya
  • Pemansuhan kategori pasangan anggota tentera dan pasukan Gerakan Am sebagai pengundi tidak hadir
  • Pendaftaran tentera dan polis sebagai pemilih mengikut alamat tempat tinggal
  • Pelantikan pemerhati antarabangsa dan tempatan semasa pilihan raya umum
  • Tataetika Kerajaan Sementara

Teras Memperkasa Institusi Pengurusan Pilihan Raya

  • Penambahbaikan autoriti dan sumber badan pengurusan pilihan raya
  • Pemerkasaan kuasa SPR mengemas kini rekod daftar pemilih
  • SPR diberikan fungsi pendaftaran parti politik
  • Kuasa SPR bagi menjamin liputan media yang adil semasa pilihan raya
  • Peruntukan kuasa adjudikasi dan penguatkuasaan kepada SPR
  • Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara-perkara asas dan procedural dalam urusan pilihan raya
  • Akta bersepadu bagi urusan pilihan raya
  • Menjadikan SPR sebagai agensi peneraju pengurusan pilihan raya

Teras Mewujudkan Gelanggang Pertandingan Adil dan Sama Rata

  • Penetapan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri diumumkan enam bulan lebih awal
  • Penambahbaikan tataetika kempen pilihan raya
  • Penubuhan Jawatankuasa Konsultatif SPR bersama parti politik
  • Pewujudan undang-undang berkaitan penyaluran dana awam kepada parti politik
  • Pewujudan undang-undang berkaitan penyaluran sumbangan orang awam dan swasta kepada parti politik
  • Platform untuk menjamin liputan media yang adil dan sama rata

Teras Memudahkan Rakyat Untuk Mengundi

  • Had umur kelayakan mengundi 18 tahun
  • Pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik
  • Pewujudan sistem pengurusan alamat nasional dengan pengecam unik
  • Penekanan kepada dasar mendaftar dan mengundi di tempat tinggal
  • Penambahbaikan kategori pengundi yang boleh diwartakan layak mengundi secara pos
  • Pengenalan kaedah pengundian khas
  • Penambahbaikan kemudahan dan kapasiti perkhidmatan urusan pengundian

Teras Memantapkan Sistem dan Proses Pilihan Raya

  • Pengenalan sistem Closed List Propotional Representation (CLPR) di peringkat Dewan Rakyat
  • Mengekalkan First-Past-The-Post sebagai sistem pemilihan di peringkat DUN
  • Dasar seorang calon hanya boleh bertanding satu kerusi sama ada Parlimen atau DUN
  • Pembentukan kerajaan yang stabil berdasarkan kerusi majoriti dan pengenalan ‘Recall Elections’
  • Penetapan dasar 30 peratus calon wanita
  • Pewujudan undang-undang khusus berkaitan urusan persempadanan
  • Memastikan keseimbangan pemilih
  • Spesifikasi dan penetapan bahan kempen
  • Tempoh kempen pilihan raya lebih lama
  • Tempoh bertenang dua hari
  • Tempoh penamaan calon yang lebih lama
  • Kaedah penamaan calon secara dalam talian
  • Kaedah cetakan kertas undi tanpa nama dan simbol untuk kegunaan pemilih pos luar negara
  • Mengira undi pos di pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negara
  • Buku panduan tataetika pilihan raya
  • Kerangka dasar bagi pelaksanaan program berkaitan pendidikan sivik dan pendidikan pengundi
  • Penubuhan Institut Pendidikan Demokrasi, Sivik dan Pengundi Kebangsaan

Leave a Reply