MB: PH Negeri Sembilan muktamadkan kerusi PRU-15 waktu terdekat

6 MAC 2021: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dijangka memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam waktu terdekat, Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Kita akan memuktamadkan dalam masa terdekat. Kita akan ikut yang lama dan kalau ada yang kosong, barulah kita gantikan,” kata beliau kepada wartawan di Seremban.

Dipetik Berita Harian, beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, pihaknya akan meletakkan calon baharu di kawasan yang pernah ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semasa berada dalam PH dalam pilihan raya umum lepas.

“Jadi yang kosong kita akan isi secara rundingan,” kata beliau lagi.

Menurut beliau, PH Negeri Sembilan akan bersedia untuk menghadapi PRU-15 meskipun pernah mengambil ketetapan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan ikut dibubarkan meskipun Parlimen dibubarkan lebih awal untuk pilihan raya umum peringkat negeri lebih awal.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Sikamat memberitahu, hasrat PH ialah Ahli Parlimen dan ADUN berkhidmat sehingga tahun 2023 iaitu sampai akhir penggal semasa.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya bersedia kerana situasi ketika ini tidak menentu.

“Kalau boleh memang mahu sampai ke akhir (penggal). Tetapi apa juga boleh berlaku dalam politik hari ini dan saya yakin kesiapsagaan itu harus ada mulai sekarang,” kata beliau lagi.

Leave a Reply