Presiden UMNO bayangkan Perikatan 3.0

12 MEI 2021: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangakakan akan lahir Perikatan 3.0 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), dan bukan lagi Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir sejak Mac tahun lalu.

Ahmad Zahid memberi bayangan bahawa akan wujud satu jajaran baru politik Umno bersama PKR dan DAP.

“Kedinamikan politik pasti berlaku saya lihat. Saya bukan seorang nujum politik tetapi saya yakin kalau mahu disebut hala tuju atau kedinamikan itu.

“Kita lihat, selepas PRU15, sama ada ia akan diadakan dalam waktu terdekat, atau dalam tempoh yang hanya Allah Taala sahaja tahu kerana kalau mengikut cukup tempoh pilihan raya adalah pada tahun 2023.

“Pada ketika itu, saya hampir pasti bahawa akan ada sesuatu yang akan berlaku kepada Umno, sebagai sebuah parti induk orang Melayu dan Islam, di mana ketika itu akan ada Perikatan 3.0 bukan Perikatan Nasional,” kata beliau sempena satu wawancara khas sempena Program 75 Tahun Jubli Intan anjuran Umno Online.

UMNO dilahirkan pada 11 Mei 1946.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, jajaran baru itu tidak melibatkan PN yang sekarang diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

UMNO dan BN tidak menganggotai PN tetapi menyokong kerajaan pimpinan PN.

Kata Ahmad Zahid, penubuhan Parti Perikatan, yang awalnya disertai oleh UMNO, MIC dan MCA, dahulu juga tidak statik sifatnya, dan ia berubah mengikut perubahan politik semasa.

BN ditubuhkan pada tahun 1973 oleh Presiden UMNO ketika itu, Tun Abdul Razak yang merupakan perdana menteri kedua.

Susulan pencapaian BN yang kurang memuaskan pada PRU-14 sehingga membawa kepada kehilangan kuasa, barisan itu kini hanya dianggotai oleh UMNO, MIC, MCA dan PBRS.

“Kita harus, melihat kewujudan Parti Perikatan yang merupakan payung bukan sahaja kepada UMNO tetapi sebagai parti-parti komponen ketika itu, tidak merupakan sebuah gabungan yang statik betulnya, apabila Barisan Nasional diwujudkan, ia merupakan Perikatan 2.0.

“Jadi ini merupakan langkah yang baharu, di mana kita lihat sunnatullah telah menentukan bahawa masyarakat Malaysia penuh dengan kemajmukan,” kata beliau.

Pautan sedutan wawancara [Sumber: KiniTV]

Leave a Reply