PRN Sarawak bukan keutamaan buat masa ini, kata Ketua Menteri Abang Johari

12 MEI 2021: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 tidak menjadi keutamaan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) buat masa ini dan ia memberi tumpuan kepada usaha untuk mengekang COVID-19 yang masih menjadi ancaman, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, keutamaan diberi untuk membendung COVID-19 memandangkan penyakit itu telah banyak mengorbankan banyak nyawa di Sarawak dan “harga setiap nyawa tidak dapat dinilai.”

“Kerajaan GPS memberi keutamaan kepada usaha untuk memerangi Covid-19. Perkara-perkara lain seperti pilihan raya negeri dikemudiankan sehingga keadaan mengizinkan,” kata beliau dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Dipetik BERNAMA, beliau berkata, peningkatan kes penyakit itu sejak kebelakangan ini membimbangkan dengan Sarawak menjadi antara negeri teratas dari segi jumlah kes harian mengatasi negeri-negeri lain untuk beberapa minggu.

“Keadaan yang agak terkawal sebelum ini dengan jumlah kes berada pada tahap dua angka bertukar menjadi keadaan yang mendatangkan keresahan kepada kita. SDMC (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak) telah menerima kritikan awam,” kata beliau.

Namun Abang Johari yakin kritikan itu tidak akan mematahkan semangat ahli jawatankuasa berkenaan untuk terus melakukan yang terbaik untuk mengekang penularan COVID-19 dengan mengambil kira data dan faktor yang berkaitan.

Menurutnya JPBN telah mengambil langkah untuk meneruskan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di tempat-tempat berlakunya kes-kes jangkitan, sejajar dengan dasar “Jejak, Uji, Kuarantin, Sisih” yang didapati lebih praktikal.

Kerajaan Sarawak juga, kata beliau, terus berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin mencukupi, termasuk melalui perundingan dan pemerolehan sendiri daripada pembekal dalam usahanya untuk menyelesaikan program imunisasi di negeri ini menjelang Ogos depan.

Leave a Reply