PRN: Agong titah Kerajaan Sarawak fungsi seperti biasa

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan barisan kepimpinan negeri menghadap Yang di-Pertuan Agong secara maya hari ini. – Foto Pejabat Ketua Menteri Sarawak

25 MEI 2021: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bertitah menasihatkan Kerajaan Negeri Sarawak supaya berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, kata Pejabat Ketua Menteri Sarawak, hari ini.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan selepas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengadap Al-Sultan Abdullah secara maya berhubung tempoh DUN dan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12, hari ini. Turut hadir dalam sesi itu ialah tiga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Jemut Masing, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.

“Sejajar dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, YAB Ketua Menteri telah menyerahkan keputusan untuk membubarkan DUN Sarawak pada tarikh yang sesuai di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud setelah menerima nasihat daripada pihak Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 susulan Pengisytiharan Darurat pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021.

Mandat semasa DUN Sarawak akan berakhir pertengahan bulan depan.