Sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, Agong zahirkan lagi

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menerima mengadap Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat di Istana Negara pagi tadi. Foto Ehsan Facebook Istana Negara

29 JUN 2021: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Pandangan itu disampaikan ketika menerima mengadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun di Istana Negara hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Mohamad Ali Mohamad dan kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dan Azalina Othman Said.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan dikeluarkan selepas pertemuan tersebut.

“… Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan dan Parlimen Malaysia,” kata beliau.

Pertemuan sejam itu adalah lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan pada 16 Jun lalu.

Menurut Ahmad Fadil, baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

Baginda turut berpandangan bahawa semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab, khususnya dalam menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” kata beliau lagi.

Pada 16 Jun, selepas mempengerusikan pertemuan khas dengan raja-raja Melayu, Agong bertitah agar Parlimen bersidang “secepat mungkin”.

Rais dan Azhar mengeluarkan kenyataan pada 25 Jun bahawa Parlimen sedang mengkaji persidangan secara hibrid, dan memerlukan masa untuk membuat persediaan.

Kata mereka, sidang Parlimen secara hibrid dijangka dapat mula bersidang pada akhir Ogos atau selewat-lewatnya awal September.

Leave a Reply