Speaker Parlimen: Sidang khas Parlimen dicadang sebelum 1 Ogos

29 JUN 2021: Persidangan khas Parlimen dicadang diadakan sebelum 1 Ogos ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu sudah dicadangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam.

“Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.

“Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan menjunjung titah baginda dan menyatakan komitmen serta kesediaan penuh Parlimen Malaysia mengadakan persidangan seperti dititahkan,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, titah Yang di-Pertuan Agong sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri.

“Adalah dicadangkan kepada Perdana Menteri supaya satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tambah kenyataan itu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Leave a Reply