Takiyuddin: Sidang Parlimen sebelum 1 Ogos

Kenyataan media dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

2 JULAI 2021: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Parlimen memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini.

Mengumumkan perkara itu menerusi kenyataan media dikeluarkan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Jemaah Menteri akan memuktamadkan tarikh persidangan Parlimen pada 7 Julai ini.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.

“Sehubungan dengan itu YAB Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021,” kata beliau.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan bahawa satu persidangan khas Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat.

Malah, kedua-dua mereka turut mencadangkan kepada Ketua Majlis Parlimen untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos.

Leave a Reply